Sunday, July 13, 2008

Kebesaran Allah s.w.t

Allah s.w.t menguasai dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Dia memerintahkan dan melarang, menciptakan dan memeliharakan, dan mematikan dan menghidupkan. Dia mengangkatkan dan merendahkan derajat, menggantikan malam dan siang, dan menaikkan dan menjatuhkan bangsa-bangsa, agar satu bangsa lenyap dan yang lain muncul. Semua yang ada di langit dan bumi, di atasnya dan di bawahnya, di lautan dan di udara, tunduk kepada perintahNya. Dia mengetahui segala sesuatu dan jumlah segala sesuatu. PengetahuanNya meliputi tiap-tiap sesuatu dan tidak hilang lenyap dari pengetahuanNya sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit. Kalau semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimahNya, maka akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimahNya, walaupun ditambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.

Dia mendengar semua suara, dan tidak tersilap antara satu sama yang lain, Dia mendengar semua permintaan dan permohonan dalam berbagai bahasa. Tiada suara menyimpangkan perhatianNya dari mendengar yang lain, Dia tidak terkeliru mendengar permintaan mereka, dan tidak pernah jemu mendengar permohonan mereka. Dia lihat segala yang dapat dilihat, malah perjalanan seekor semut hitam di atas batu permata ketika kegelapan malam. Dia dapat melihat segala penglihatan mata, dan mengetahui segala rahsia. Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan. Dia mengampunkan dosa, mengurangkan kebimbangan, mengurangi kesusahan, menunjuk hambanya ke pangkal jalan, membuat yang kaya menjadi miskin, memberi petunjuk kepada yg tersesat dan keliru, memenuhi keperluan yang berputus-asa, memberi makan yang lapar, membajui yang telanjang, menyembunyikan keaiban, dan menenangkan ketakutan.

Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kalangan manusia dan jin mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan mereka, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanNya. Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kalangan manusia dan jin mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan mereka, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanNya. Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kalangan manusia dan jin berhimpun di suatu tempat, lalu memohon kepadaNya, Dia akan mengurniakan setiap permintaan, nescaya hal itu tidak sedikit mengurangkan apa-apa yang ada di sisiNya kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum.

Dialah Yang Awal tanpa permulaan, dan Yang Akhir tanpa kesudahan. Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.


Ihya' - Sifat Maha Suci Allah


Telah menulis Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali di dalam kitabnya yang cukup terkenal dan mempunyai berkat dan manfaat yang besar, Ihya' Ulum al-Din:



Allah bukan merupakan benda yang dirupakan. Bukan merupakan atom yang terbatas. Allah tidak menyamai benda baik dalam perkiraan mahupun bahagiannya. Allah bukan merupakan jasad dan jasad tidak berada pada-Nya. Allah bukan merupakan aradh dan tidak ditempati aradh. Allah tidak menyerupai sesuatu yang ada dan sesuatu yang ada tidak menyerupai Dia. Tidak ada yang serupa dengan Dia dan Dia tidak serupa dengan sesuatu. Allah tidak terbatas oleh ukuran. Allah tidak terlingkup oleh daerah. Allah tidak terlingkup oleh arah. Allah tidak dikelilingi oleh langit dan bumi.



Allah beristiwa' atas arasy dengan istiwa' yang Dia kehendaki. Istiwa' yang jauh daripada sentuhan, bertempat dan berpindah. Allah tidak dipikul oleh arasy. Bahkan arasy dan semua pemikulnya berada dalam kekuasaan-Nya dan tunduk di bawah perintah-Nya.



Allah tidak bertempat dalam sesuatu, sebagaimana tidak ada sesuatu yang bertempat pada-Nya. Allah tidak terlingkup oleh ruang sebagaimana tidak terlingkup oleh waktu. Allah ada sebelum Dia menciptakan waktu dan ruang. Allah sekarang ini ada pada apa yang ada pada-Nya. Allah lepas daripada mahluk-Nya dengan sifat-Nya. Tidak ada selain Dia pada Zat-Nya dan Zat-Nya tidak ada pada selain Dia.



Allah Maha Suci daripada hal-hal yang baru, iaitu perubahan dan perpindahan. Allah tidak ditempati oleh mahkluk dan tidak terjadi hal baru pada-Nya. Allah sentiaa bersifat kebesaran dan suci daripada sirna. Dalam kesempurnaan- Nya Allah tidak memerlukan tambahan kesempurnaan- Nya. Allah diketahui ada-Nya dengan akal. Allah Zat-Nya boleh dilihat dengan mata sebagai nikmat dan anugerah bagi orang-orang yang berbakti di syurga. Itu sebagai penyempurna nikmat dengan memandang Zat-Nya Yang Mulia.





Telah berkata Al-Imam Al-Habib Al-Arif billlah, Sheikh Abdullah bin 'Alawi Al-Haddad r.a.:

Kami akan menerangkan tentang zahir dari makna "La Ilaha IllaLlah" (tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah), kerana kita telah menjelaskan bahawa, makna batin dari kalimah Tauhid tersebut perlu didiamkan dari perbincangan umum.

Ketahuilah bahawa, Tiada Tuhan melainkan Allah bererti, Dialah wajibul wujud lizatihi (kewajibannya adalah wajib dari sudut akal, dan kewujudan-Nya tidak bergantung kepada yang lain). Dia Maha Esa, Maha Memiliki dan Maha Berkuasa. Dia Maha Hidup lagi Maha Mentadbir setiap perkara. Dia bersifat dengan Qodim, di mana tiada permulaan bagi kewujudan-Nya dan Dia juga Abadi yang tiada berakhir bagi kewujudan-Nya.

Dia mengetahui setiap sesuatu dan mampu melakukan setiap sesuatu. Dia melakukan apa yang dikehendaki- Nya, dan berhukum dengan apa yang Dia mahu. Dia tidak menyerupai sesuatupun, dan tidak mempunyai sebarang sekutu bagi-Nya. Dia tidak tertakluk di dalam taklukan masa dan tidak juga sibuk dengan sesuatupun. Dia juga tidak bertempat dan tidak pula berhajat kepada perkara-perkara baharu. Dia tidak memerlukan sesuatupun.

Dari sudut yang lain pula, setiap sesuatu selain-Nya, memerlukan-Nya. Dialah yang menciptakan setiap yang wujud. Dialah yang menciptakan perbuatan setiap makhluk tersebut, baik dan buruknya. Maha Suci Allah s.w.t. yang merupakan sebaik-baik Pencipta. Dialah yang memberi hidayah kepada seseorang dan Dialah jua yang menyesatkan sesiapa yang dikehendaki- Nya.

Dialah yang memberi dan Dialah jua yang menegah. Dialah yang mengampunkan dan Dialah jua yang mengazab sesiapa yang dikehendaki- Nya. Tidak ada sesiapapun yang layak mempersoalkan- Nya dan merekalah (makhluklah) yang akan dipersoalkan. Dialah yang menciptakan dan Dialah yang memberi rezeki.

Dialah yang menurunkan kitab-kitab sebagai wahyu dan Dialah yang mengutuskan para Rasul a.s., sebagai bukti kelembutan-Nya terhadap para hamba-Nya dan kemurahan-Nya terhadap mereka. Maka, wajib bagi para hamba-Nya untuk mentauhidkan- Nya (mengesakan- Nya) dan taat kepada-Nya dalam ibadah, dengan menyahut seruan para Rasul-Nya a.s., dan tidak ada sesuatupun yang wajib bagi-Nya untuk melakukan sesuatu atau meninggalkannya, kerana Dialah Raja dan Pemilik setiap sesuatu, dan menguruskannya. Setiap sesuatu selain-Nya tidak ada hak di sisi-Nya, untuk meminta hak mereka dari-Nya. Dialah yang menjanjikan ganjaran buat para solihin, kerana kemurahan-Nya, dan Dia juga yang menjanjikan azab buat orang-orang yang ingkar kerana keadilan-Nya.

Maka, perkataan TUHAN, meliputi seluruh sifat-sifat yang disebutkan, dan Dialah Allah yang tiada tuhan selain daripada-Nya, kerana setiap sifat tersebut jelas dimiliki oleh-Nya dan tidak dimiliki oleh selain daripada-Nya secara mutlak, samada bersifat dengan salah satu daripada sifat-sifat tersebut, apatah lagi untuk memiliki seluruh sifat-sifat tersebut.

Barangsiapa yang menafikan sifat-sifat ketuhanan dari Allah s.w.t., dan mengisbatkannya kepada selain Allah s.w.t., atau menyekutukan Allah s.w.t. pada sifat-sifat ketuhanan tersebut, maka ia merupakan suatu kedustaan dan akan ditimpa ke atasnya kerugian yang abadi. Merekalah orang-orang yang disebutkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud: "Kami telah memenuhkan neraka Jahannam dengan ramai dari kalangan jin dan manusia, kerana mereka memiliki hati tetapi tidak berfikir dan meneliti dengannya, mereka memiliki mata tetapi tidak mahu melihat (kebenaran) dengannya, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar (kebenaran) dengannya. Mereka bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dari binatang. Merekalah orang-orang yang lalai".

dipetik daripada islamic e-book

No comments: